Khamis, 19 Januari 2012

Kelebihan hari JUMAAT...

Bagaimana nak jadikan setiap langkah anda sama dengan ibadah setahun berpuasa dan bersolat?

Kita hanya menunggu, terus menunggu dari Ramadhan yang lepas kepada Ramadhan yang akan datang, raya yang lepas kepada raya yang akan datang. Ada juga yang menunggu lailatul Qadr dan 10 malam terakhir Ramadhan, semua hari-hari ini adalah hari yang sangat baik dan ada banyak keberkatan padanya.

Namun ada lagi satu musim/hari yang ALLAH s.w.t. letakkan segala kebaikan untuk setahun padanya. Semua ada di musim/hari ini, ia adalah hari JUMAAT.

Sebagaimana Sabda Nabi s.a.w : “Sebaik-baik hari yang diterbitkan matahari adalah JUMAAT.”

Hari JUMAAT telah dikhaskan untuk kita. ALLAH s.w.t. penuhkannya dengan kebaikan.

Para ulama’ mengatakan tiada hari yang lebih baik dari JUMAAT dalam setahun kecuali hari Arafah, hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, malah ia lebih baik dari Ramadhan dan 10 hari terakhirnya. Hari JUMAAT lebih baik daripada hari-hari dalam Ramadhan.

Hadis Nabi s.a.w. tentang hari JUMAAT;

Nabi s.a.w. bersabda: “Barangsiapa yang mandi, keluar awal berjalan kaki dan tidak menunggang. Kemudian menghampiri  imam dan mendengar khutbah, maka pada setiap langkahnya, dia dikurniakan ganjaran berpuasa dan bersolat selama setahun.”

Begitulah yang boleh disimpulkan tentang etika dan adab-adab yang boleh diamalkan pada hari JUMAAT.

PERTAMA : Adab bersedia menyambut hari JUMAAT. Terdapat lima adab bersedia untuk hari JUMAAT iaitu;
  1. Mandi ; sesetengah ulama’ mewajibkannya kerana Nabi s.a.w. bersabda:“Mandi JUMAAT adalah wajib kepada mereka yang dah baligh.” Iaitu wajib ke atas setiap orang yang baligh.
  2. Memakai pakaian yang terbaik dan menyimpan pakaian yang terbaik untuk hari JUMAAT. Dan sudah tentulah yang terbaik adalah pakaian yang berwarna putih. Ia adalah sunah kerana Nabi s.a.w. sukakan warna putih.
  3. Berwangi-wangian ; dengan menggunakan ‘Atar dan haruman-haruman lain.
  4. Memotong kuku, mencukur dan menggunting bulu yang dibolehkan.
  5. Melumurkan @ memakai pada badan dengan minyak, losyen atau krim.
Jika lima adab ini diamalkan, maka kita telah mengamalkan sunah hari JUMAAT.

KEDUA : Adab keluar dari masjid. Terdapat lima adab ketika keluar dari masjid.
  1. Dengan berjalan selagi mampu sekiranya jika masjid berada berdekatan atau dia juga boleh memandu kemudian berjalan dari keretanya ke masjid. Ia akan dihitung, insya-ALLAH, akan mendapat ganjaran untuk amalannya.
  2. Keluar awal dari rumah dan masuk ke masjid sebelum imam berada di mimbar. Inilah antara yang memberi kesan terhadap saya. Ia adalah sabda Nabi s.a.w:“Di setiap pintu masjid ada malaikat yang menulis nama mereka yang memasukinya mengikut urutan. Ketika imam menaiki mimbar, mereka(malaikat)  tutup lembaran nama itu untuk mendengar khutbah.”
  3. Menunaikan solat tahiyyatul masjid. Nabi s.a.w. mengarahkan supaya kita tidak duduk sebelum menunaikan solat tahiyyatul masjid. Walaupun khatib sudah menaik ke mimbar dan mula untuk menyampaikan khutbahnya, kita tetap disunatkan untuk menunaikan solat tahiyyatul masjid.
  4. Sunnah untuk mendekati imam. Iaitu duduk di tempat yang paling hampir dengan imam. Berdasarkan sabda Nabi s.a.w : “Baginda mendekati imam lalu mendengar khutbahnya.”
  5. Memberi perhatian terhadap khutbah yang disampaikan. Buat mereka yang tidur dan terleka, sesungguhnya mereka akan terlepas ganjaran besar yang diberikan kepada mereka yang mendengar khutbah. Memberi perhatian adalah penting dan juga meninggalkan perkara yang sia-sia. Kerana terdapat beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh orang ramai, sesetengahnya ketika mendengar khutbah dia asyik dengan telefon bimbitnya. Berdasarkan Nabi s.a.w. bersabda : “Barangsiapa yang menggerakkan batu, pada hari JUMAAT maka dia telah melakukan perkara yang sia-sia, barangsiapa yang melakukan perkara yang sia-sia maka tiadalah pahala JUMAAT untuknya, Barangsiapa bercakap dengan temannya maka tiadalah pahala JUMAAT untuknya.”
KETIGA : Adab pada hari JUMAAT dan malam sebelumnya.

  1. Membaca surah Al-Kahfi seperti sabda Nabi s.a.w : “Barangsiapa yang membaca surah Al-Kahfi di hari JUMAAT, dia akan disinari cahaya sehingga ke JUMAAT yang berikutnya.” Ia juga akan melindungi kita daripada fitnah dajjal, semoga ALLAH melindungi kita daripada fitnah dajjal.
  2. Iaitu selawat ke atas Nabi s.a.w. Baginda s.a.w. bersabda : “Banyakkanlah berselawat kepadaku di hari JUMAAT dan malam sebelumnya.” Jika kita berselawat kepada Nabi s.a.w. sekali, ALLAH akan berselawat kepada baginda sebanyak 10 kali. Selawat dari ALLAH s.w.t. adalah rahmat.
  3. Perbanyakan berdoa dan menunggu saat doa dimakbulkan. Nabi s.a.w. bersabda : “Terdapat satu masa di hari JUMAAT, jika seorang muslim berdoa, doanya pasti akan dimakbulkan oleh ALLAH.” Saat ini dikenali sebagai saat doa dimakbulkan dan kebanyakan ulama’ dan para sahabat Nabi s.a.w antaranya Ali dan Fatimah Az-Zahrah dan beberapa sahabat yang lain mengatakan bahawa saat doa dimakbulkan adalah ketika matahari mula terbenam.

Antara perkara terpenting yang perlu kita ambil berat ketika mencontohi Nabi s.a.w. adalah persepsi Baginda menunjukkan mahabbah ALLAH s.w.t. kepada kita. Mahabbah kita kepada ALLAH s.w.t. pula merupakan asas mengapa kita mengamalkan sunah Nabi s.a.w.




Allah berfirman : katakanlah; “Jika kamu benar-benar cintai ALLAH, ikutilah aku. Nescaya ALLAH akan mengasihimu. (Ali-Imran : 31)

Daripada : Habib Muhammad Al-Saqqaf’s 

Ketika Waktu Bangun Tidur

  1. Usap wajah yang terkesan bekas tidur dengan telapak tangan. Menurut Imam Nawawi dan al-Hafiz Ibn Hajar, perbuatan ini dianjurkan berdasarkan hadis riwayat Muslim: " Rasulullah s.a.w. bangun tidur kemudian duduk sambil mengusap bekas tidur dari wajah dengan tangannya."
  2. Berdoa ketika bangun tidur: "Alhamdulillah. Segala puji-pujian itu hanya bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah Dia mematikan kami, dan kepada-NYA kami dibangkitkan." (riwayat Bukhari)
  3. Bersiwak. "Apabila Rasulullah s.a.w. bangun malam, Baginda membersihkan mulutnya dengan bersiwak." (Muttafaq 'alaih)
  4. Mengeluarkan atau menyemburkan air dari hidung setelah menyedutnya (tidak terlalu dalam). Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang diantara kamu bangun daripada tidur, maka berbuatlah demikian tiga kali, kerana sesungguhnya syaitan bermalam di hujung (rongga) hidungnya." (Muttafaq 'alaih)
  5. Mencuci tangan tiga kali. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Apabila salah seorang daripada kamu bangin tidur, janganlah memasukkan tangan(keseluruhan) ke dalam bekas air sebelum mencucinya tiga kali." (Muttafaq 'alaih).

Pengharaman Rokok...berapa ramai yang ambik ringan 'HARAM' ni??

PUTRAJAYA: Masih ramai di kalangan umat Islam di negara ini mengambil mudah mengenai fatwa Merokok Adalah Haram, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Othman Mustapha.

Justeru itu katanya, Jakim dan Kementerian Kesihatan hari ini bekerjasama mengadakan Seminar Pendidikan Fatwa Merokok Adalah Haram sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran.

Walaupun pelbagai kempen kesedaran telah dilaksanakan, Othman berkata jumlah penghisap rokok terus meningkat.

Menurut Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada tahun ini lebih lima juta penduduk dunia akan mati akibat penyakit berkaitan merokok antaranya serangan jantung, strok dan kanser.


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.

Keterangan/Hujah:

1. Keputusan yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia tersebut adalah bersandarkan kepada hujah-hujah berikut:

i. Rokok mengandungi pelbagai jenis racun. Fakta daripada kajian-kajian perubatan telah membuktikan bahawa setiap batang rokok mengandungi 6-8 mg. nikotian dan pelbagai bahan kimia lain. Setiap sedutan asap rokok sebenarnya kita telah menghidu sebanyak 4,000 jenis bahan kimia yang boleh memudharatkan badan.

ii. Ketagihan tembakau bukan hanya menimbulkan masalah kepada perokok, malah ia berada di tempat keempat dalam senarai faktor risiko bagi penyakit serius yang menular di seluruh dunia. Tabiat merokok dikaitkan dengan risiko barah, penyakit jantung dan masalah pernafasan. Terdapat beberapa jenis penyakit yang berpunca dari merokok, antaranya ialah kanser kerongkong, kanser mulut, katarak (sejenis kerosakan mata yang menyebabkan kanta mata berselaput dan rabun), ulser perut, penyakit jantung, strok, penyakit paru-paru, emfisema paru-paru dan banyak lagi.

iii. Pada masa kini jumlah perokok sama ada dinegara maju atau negara membangun masih begitu besar, walaupun berbagai usaha telah dibuat oleh Kerajaan serta badan-badan sukarela bagi menyedarkan orang ramai tentang bahayanya merokok kepada orang ramai. Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30% daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esophagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut. Sebanyak 50% kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok. Kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk merawat berbagai jenis penyakit yang dikaitkan dengan tabiat merokok dan negara juga mengalami kerugian kira-kira RM 20 billion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.

iv. Imam al-Syafi’e telah mengeluarkan fatwa dalam kitabnya yang masyhur al-Umm iaitu:” Jika mereka mengambil (sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu dan disedut) yang boleh memabukkan, maka perbuatan itu adalah jelas haram. (Termasuklah) yang mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku tetap menganggap (menfatwakan) ia adalah haram. Allah swt mengharamkan (apapun jenis) pembunuhan kerana pembunuh bermakna membunuh diri sendiri”.

v. Para ulama’ sepakat menyatakan bahawa merokok hukumnya haram kerana ianya jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara keji, berdasarkan nas-nas berikut:

a. Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.

b. Firman Allah swt dalam Surah al-A’raf ayat 157 yang bermaksud; “ Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.

c. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “ Tidak boleh memberi mudharat dan membalas dengan kemudharatan”. (Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)

d. Kaedah Usul Fiqh درء المفاسد مقدم على جلب المصالح yang bermaksud “ menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”

e. Imam Ibn. Hazm dalam kitabnya al-Muhalla, jilid 7, halaman 503 (masalah no. 1027) menegaskan bahawa : “Pemborosan adalah haram”. Yang dimaksudkan dengan pemborosan di sini ialah:

i. Membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh Allah swt, samada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.

ii. Pembaziran yang tidak ada keperluannya.

iii. Membuang wang, betapa kecilpun jumlahnya kerana dengan membuang tanpa tujuan itu menjadikannya sia-sia.

vi. Beberapa negara Islam dan beberapa ulama’ muktabar telah mengeluarkan fatwatentang amalan merokok.

Antaranya seperti berikut:

a. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya adalah hukumnya haram kerana daripadanya terdapat kemudharatan.

b. Ulama’-ulama’ semasa Mesir seperti Dr. Abdul Jalil Shalaby mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan masyarakat.

c. Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya “Fatawa al-Imam Abdul Halim Mahmud” telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan.

2. Hukum pengharaman arak dan khinzir tidak boleh disamakan dengan hukum haram merokok kerana hukum pengharaman terhadap arak dan khinzir telah dinyatakan secara jelas dan qat’ie oleh Allah swt dalam kitab suci al-Quran. Manakala hukum pengharaman terhadap perbuatan merokok telah diistinbatkan oleh para jumhur ulama’ terdahulu dan masa kini bersandarkan hujah-hujah kepada nas-nas syarak yang jelas dinyatakan seperti al-Quran, al-Hadith, Ijma’ Ulama’, Qaedah-qaedah Fiqhiyah dan sebagainya. Ayat-ayat al-Quran dan hadith seperti yang dinyatakan di atas jelas telah memperincikan isu ini.

3. Al-Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, bekas Mufti Mesir dalam Kitabnya Fatawa Syariyyah Wa Buhuth Islamiyah menyatakan:

“ Sesungguhnya tumbuhan (tembakau) ini dahulunya belum dikenali. Apabila ia diperkenal dan digunakan oleh manusia untuk merokok, maka ulama’-ulama’ fiqh daripada pelbagai mazhab Islam telah membincangkannya untuk menetapkan hukumnya berdasarkan prinsip (qaedah fiqhiyyah) yang telah ditetapkan.”

“Sesungguhnya berdasarkan hukum asal sesuatu itu harus. Tidak akan terkeluar daripada prinsip asal melainkan adanya perkara-perkara yang mengubah hukumnya menjadi haram atau sebagainya.”

Dalam isu merokok ini, sebab yang menjadikannya haram ialah kesan mudharat dan bahayanya sehingga meruntuhkan lima asas utama (al-Kulliyatul Khams) yang wajib dipelihara oleh setiap manusia iaitu agama, jiwa, maruah keturunan, akal dan juga harta.


"Islam Menerajui Kepimpinan Madani"

Kenapa Nak jadi Ustaz?



Hari ini saya dikelilingi oleh pelbagai reaksi masyarakat terhadap golongan ustaz. Isunya adalah tentang pelaburan internet.

Apa yang ada kebelakangan ini adalah peperangan tidak sekufu di antara tokoh-tokoh yang specialized dalam bidang ini seperti sahabat saya al-Fadhil Ustaz Haji Zaharuddin Abdul Rahman, dan dituruti dengan fatwa beberapa mufti, hinggalah kepada reaksi rasmi Majlis Fatwa Kebangsaan. Saya katakan tidak sekufu, kerana peperangan itu bukan di antara hujah berbalas hujah. Tetapi hujah berbalas amarah dan emosi yang tidak sudah-sudah.

Kesan perbalahan ini, adalah seperti golongan ustaz membuka pekung di dada sendiri. Bak kata Ustaz Ismail Kamus suatu ketika dahulu, “kalau diam tak pasti bagaimana, bila bercakap comfirmed bodoh!”

Saya enggan membabitkan diri dalam pertikaian ini, walaupun dalam hati ada rasa terkilan melihat usaha menyelamatkan masyarakat dari terjebak dengan sesuatu yang haram, diperlekehkan oleh isu umur dan senioriti, siapa dia, apa kelayakan dia, dan tidak segan untuk membelakangkan terus hujah-hujah yang terdiri dari kalam Allah dan Rasul-Nya, serta pandangan Ulama’ yang mewarisi amanah para Nabi. Alangkah baiknya kalau hujah dipertikaikan dengan hujah yang lebih rasional, kerana itulah tradisi keilmuan Islam selama-lamanya.

Seperti yang saya katakan tadi, biarlah isu ini diselesaikan oleh mereka yang ahli di dalamnya.

MENGAPA RAMAI USTAZ TERLIBAT

Namun, apa yang ingin saya perkatakan adalah satu sudut lain terhadap isu ini, iaitu mengapakah begitu ramai ustaz yang terlibat dengan pelaburan internet dan kes-kes yang seumpama dengannya? Sehingga menjadi kesulitan kepada masyarakat untuk mempertimbangkan hal ini secara rasional, lantaran ramai ‘ustaz kami’ yang menyertainya.

Bukan hanya terserlah pada debat maya, malah saya sendiri seringkali didatangi oleh rakan sejenis saya (para ustaz) yang tanpa segan silu mengajak saya menyertai skim pelaburan internet, dengan hujah “ada ustaz kata boleh”�. Habis, siapa saya dan siapa dia ketika dia berkata “�ada ustaz kata boleh”�. Kalau cerek dan belanga, mungkin sudah berasap-asap tekanan kepala yang terhambur. Namun saya sabarkan diri dan berkelakuan bodoh agar tidak memperbodohkan “ustaz”yang sedang duduk di hadapan saya.

Isu utama saya di sini ialah mengapakah ramai ustaz terlibat? Mengapa ramai ustaz yang ‘menjual diri’?

Sabarkan diri seketika, ketepikan kekecewaan saya dan kita semua terhadap kerenah mereka, namun bantulah saya untuk berfikir mengapakah ramai ustaz terlibat di dalam masalah ini?

MENCARI KERJA

Setahun pertama sekembalinya saya ke Malaysia, saya berlanggan dengan hampir semua portal yang menyediakan khidmat mencari pekerjaan. Saya pulang ke Malaysia dalam keadaan yang agak gementar kerana usia sudah mencecah hampir 30 pada ketika itu. Usia ini bermaksud, saya tidak boleh bekerja secara cuba-cuba. Tanggungan sudah besar, dan memilih pekerjaan yang betul adalah sangat kritikal.

Apa yang menjadi hambatan saya ketika itu, bukanlah soal memilih pekerjaan. Tetapi tiada pekerjaan untuk dipilih. Dalam tempoh setahun saya melanggan jobstreet.com dan lain-lain, tidak sampai 20 tawaran pekerjaan yang diiklankan, berkaitan dengan kelulusan seperti saya iaitu di bidang Syariah.

Ia saya catatkan tanpa mengambil kira iklan jawatan “guru”. Memang tidak dinafikan, ada J-QAF, dan ada KPLI. Sesekali apabila mendekati bulan Mei dan Jun, ada iklan kerja sebagai penterjemah Bahasa Arab untuk hotel-hotel di Genting Highlands.

Tetapi bayangkan sahaja, graduan yang dihasilkan setiap tahun oleh Akademi Islam Universiti Malaya, FPI UKM, IRK UIAM (sekadar menyebut beberapa nama), di samping Universiti Kolej dan Kolej-kolej yang menawarkan pengajian Islam di seluruh Malaysia. Hitunglah pula berapa ramai yang dikeluarkan oleh Al-Azhar di Mesir, Jordan, Yaman, Syria, Sudan, Arab Saudi, Pakistan, Maghribi juga United Kingdom.

Nisbah peluang pekerjaan para ustaz ini, dengan jumlah mereka yang masuk ke alam pekerjaan, jurangnya merisaukan saya.

Berbekalkan kelulusan dan pengalaman bekerja di luar negara sekali pun, saya memulakan kerja pertama saya di Malaysia dengan gaji pokok hanya RM1000 sebulan. Walaupun berat, dan habis sekelip mata apabila sewa rumah dan bil dibayar, ia masih baik berbanding ramai lagi ustaz dan ustazah yang bekerja dengan gaji yang lebih rendah dari itu. Saya perlu bekerja keras untuk menyelesaikan keperluan hidup, dan mendekatkan jarak gaji saya dengan isteri. Ia suatu perjuangan untuk keperluan, dan maruah diri.

Tetapi bagaimana pula dengan graduan-graduan Syariah yang lain? Ke mana perginya mereka?

MENGUNDANG KEENGKARAN

Sesungguhnya tekanan hidup bagi graduan pengajian Islam bukanlah suatu isu yang boleh diremeh-temehkan.

Kita boleh mengambil sikap mentertawakan sesetengah ustaz yang mengambil jalan pintas. Ada yang menukar prinsip politik untuk ‘cari makan’. Dan nah, apabila munculnya MLM seperti cendawan selepas hujan, dan skim pelaburan sehebat yang ada, saya tidak hairan seorang ustaz yang sedang menggaru kepala memikirkan susu dan lampin anaknya akan terjebak tanpa mahu menyiasat dalam-dalam.

“Hampir-hampir sahaja kefakiran itu menghasilkan kekufuran”

Walaupun atsar yang diriwayatkan dari Umar Radhiyallahu ‘anhu ini dihukum sebagai dhaif oleh kebanyakan ahli hadith yang saya ketahui, namun jangan dipejamkan maknanya dari realiti masyarakat.

Sudah tentu, dengan ilmu Syariah di dada dan helaian ijazah serta diploma, sepatutnya ia menjadi benteng Taqwa untuk bertahan di jalan yang lurus. Itulah yang sepatutnya. Namun kemiskinan dan tekanan hidup pemegang kelulusan pengajian Islam (seorang manusia yang manusia)… adalah fenomena yang boleh menghasilkan 1001 penyakit di dalam masyarakat.

Penyakit paling ringan, adalah hilangnya peranan mereka sebagai guru masyarakat. Penyakit paling berat, setelah tidak berperanan sebagai guru, mereka berubah menjadi perosak masyarakat. Ya, kefakiran boleh mencetuskan apa sahaja.

Seperti yang saya katakan tadi, kita boleh ketawakan para ustaz ini, memaki hamun dan menyindir mereka sebagai ular dalam semak, dan bukannya ulamak. Kita boleh berkata apa sahaja tentang mereka, tetapi semua itu adalah tindakan reaktif yang TIDAK MENGHASILKAN PENYELESAIAN.

Amat berat untuk saya menulis tentang ini kerana MARAH saya jauh lebih besar berbanding dengan SIMPATI. Namun sebagai seorang da’ie, dengan sekelumit simpati itulah, saya cuba mencari jalan keluarnya.

MENYELAMATKAN GENERASI PELAPIS

Bagi pelajar yang menyambung pengajian di bidang Sunnatullah seperti perubatan, kejuruteraan, ekonomi dan lain-lain, saya ada akses yang agak baik kepada mereka. Alhamdulillah, saya bersama team di dalam Kelab Rakan Intelek Muda, kami panggil balik sahabat-sahabat lama yang sudah menjadi doktor pakar, ketua jabatan di IPT dan lain-lain, untuk turun bersama mengadakan sesi kursus bagi pelajar di kolej persediaan.

Bersama pelajar ke UK, Eire dan USA di dalam Eco-Camp Anjuran KRIM

Kami hidangkan kepada pelajar-pelajar ini, realiti sebenar dunia pekerjaan mereka nanti. Biar soal Begin With the End in Mind mereka cukup optimum agar mereka melangkah ke universiti dengan visi dan misi yang TEPAT dan JELAS.

Tetapi setakat ini saya tiada akses kepada pelapis-pelapis saya sendiri. Bakal-bakal ustaz dan ustazah. Saya mahu berkongsi pengalaman dan nasihat sebagai abang kepada mereka, agar mereka pergi ke kembara ilmu dengan akal, mata dan hati yang celik terhadap masa depan mereka.

KRISIS VISI DAN MISI

Saya amat bimbang, ramai yang mengambil keputusan untuk belajar di bidang agama, mempunyai visi dan misi yang TEPAT, malangnya TIDAK JELAS. Mahu menjadi pewaris Anbiya’, mahu mengubah masyarakat, mahu menjadi da’i yang berisi, semua itu tepat… tetapi tidak jelas. Kerana ia hanya konsep, yang sukar dijelmakan dalam bentuk pekerjaan, demi survival kehidupan kerana manusia hidup dengan makan dan minum, bukan teori dan slogan.

Saya adalah di antara pelajar yang MEMILIH untuk belajar di bidang agama. Saya sudah berada di salah sebuah sekolah yang terbaik di Malaysia. Di dalam kelas aliran Sains yang terbaik yang saya boleh pergi. Tetapi saya telah membuat keputusan (bodoh atau cerdik) untuk beralih ke sekolah asal saya yang serba kekurangan, demi mengejar cita-cita saya untuk menjadi seorang Ulama’. Keputusan dibuat pada tahun 1991.

Kini, kesan keputusan itu boleh dilihat pada tahun 2007. Rakan-rakan sekelas saya dahulu sudah mencapai kejayaan yang layak dengan kebolehan mereka. Pada usia 32 tahun, rakan-rakan saya sudah berumah sendiri, sudah semakin menghampiri fenomena ‘money works for us, and we no longer work for money‘�. Tetapi saya masih melalui kehidupan yang penat dan letih di usia 32 tahun ini. Masih gementar di pertengahan setiap bulan.

Namun tidak sekelumit pun rasa terkilan atau menyesal di hati, meninggalkan ‘dunia’ itu. Saya amat terasa betapa bermaknanya menjadi pelajar di bidang agama secara PILIHAN, dan bukannya KERANA TERPAKSA.

Tetapi perasaan ini tidak terbit secara mudah. Dengan 1001 kepayahan semasa belajar, saya cuba lengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran agar bersedia untuk terjun ke dunia yang serba payah di hadapan saya. Saya kemaskan Bahasa Arab, pertahankan Bahasa Inggeris sebagai alat yang penting, saya tidak jemu belajar ICT, dan paling utama, seperti yang pernah saya sebutkan semasa di Jordan, “setiap seorang daripada kita, mesti specialized dalam sesuatu!”. Jangan pulang ke Malaysia hanya menambah bilangan yang ada, sebaliknya ada keunikan yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat, dan boleh memberi manfaat kepada diri sendiri.

Belajar bersungguh-sungguh, tidak ponteng kelas, dan cuba yang terbaik, walaupun sesekali kecundang sebagai manusia biasa.

Saya mahu memberitahu adik-adik yang masih menuntut di bangku pengajian Islam, bukakan mata terhadap realiti. Jangan berebut mengejar J-QAF dan KPLI kerana berapa sangat guru agama yang diperlukan di sebuah sekolah. Lengkapkanlah diri dengan semua ilmu, kemahiran dan maklumat yang ada agar anda masuk ke dunia pekerjaan dengan multi skill.

Dan yang terlebih penting, gilaplah sikap-sikap positif dan profesional di dalam diri. Ketika para profesional berebut menjadi ‘protaz’, malang sekali apabila saya hendak menyebut ‘Kepimpinan Ulama’ pun, tersekat di kerongkong. Bagaimana Ulama’ mahu memimpin masyarakat hari ini, jika kita penuh dengan rendah diri, serba faqir dan dha’if, lantas akhirnya menjadi mangsa perangkap skim pelaburan internet, MLM jenis yang tidak syar’ie, menjual Insurans yang tidak Islamik dan seterusnya menjadi fitnah kepada agama yang kita perjuangkan semasa di alam ada biasiswa dan elaun dulu

LALAT

Saya takut, golongan agama di akhir zaman, semakin menjadi seperti lalat yang muncul di mana-mana sahaja ada makanan dan bangkai. Bila ada kenduri, barulah orang agama ada gunanya, untuk baca doa. Dan bila ada orang mati, barulah orang agama ada gunanya, untuk doa dan kenduri arwah.

Pastikan anda ada visi dan misi yang TEPAT….. dan JELAS!!!

Saya doakan.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur