Khamis, 19 Januari 2012

Kelebihan hari JUMAAT...

Bagaimana nak jadikan setiap langkah anda sama dengan ibadah setahun berpuasa dan bersolat?

Kita hanya menunggu, terus menunggu dari Ramadhan yang lepas kepada Ramadhan yang akan datang, raya yang lepas kepada raya yang akan datang. Ada juga yang menunggu lailatul Qadr dan 10 malam terakhir Ramadhan, semua hari-hari ini adalah hari yang sangat baik dan ada banyak keberkatan padanya.

Namun ada lagi satu musim/hari yang ALLAH s.w.t. letakkan segala kebaikan untuk setahun padanya. Semua ada di musim/hari ini, ia adalah hari JUMAAT.

Sebagaimana Sabda Nabi s.a.w : “Sebaik-baik hari yang diterbitkan matahari adalah JUMAAT.”

Hari JUMAAT telah dikhaskan untuk kita. ALLAH s.w.t. penuhkannya dengan kebaikan.

Para ulama’ mengatakan tiada hari yang lebih baik dari JUMAAT dalam setahun kecuali hari Arafah, hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, malah ia lebih baik dari Ramadhan dan 10 hari terakhirnya. Hari JUMAAT lebih baik daripada hari-hari dalam Ramadhan.

Hadis Nabi s.a.w. tentang hari JUMAAT;

Nabi s.a.w. bersabda: “Barangsiapa yang mandi, keluar awal berjalan kaki dan tidak menunggang. Kemudian menghampiri  imam dan mendengar khutbah, maka pada setiap langkahnya, dia dikurniakan ganjaran berpuasa dan bersolat selama setahun.”

Begitulah yang boleh disimpulkan tentang etika dan adab-adab yang boleh diamalkan pada hari JUMAAT.

PERTAMA : Adab bersedia menyambut hari JUMAAT. Terdapat lima adab bersedia untuk hari JUMAAT iaitu;
  1. Mandi ; sesetengah ulama’ mewajibkannya kerana Nabi s.a.w. bersabda:“Mandi JUMAAT adalah wajib kepada mereka yang dah baligh.” Iaitu wajib ke atas setiap orang yang baligh.
  2. Memakai pakaian yang terbaik dan menyimpan pakaian yang terbaik untuk hari JUMAAT. Dan sudah tentulah yang terbaik adalah pakaian yang berwarna putih. Ia adalah sunah kerana Nabi s.a.w. sukakan warna putih.
  3. Berwangi-wangian ; dengan menggunakan ‘Atar dan haruman-haruman lain.
  4. Memotong kuku, mencukur dan menggunting bulu yang dibolehkan.
  5. Melumurkan @ memakai pada badan dengan minyak, losyen atau krim.
Jika lima adab ini diamalkan, maka kita telah mengamalkan sunah hari JUMAAT.

KEDUA : Adab keluar dari masjid. Terdapat lima adab ketika keluar dari masjid.
  1. Dengan berjalan selagi mampu sekiranya jika masjid berada berdekatan atau dia juga boleh memandu kemudian berjalan dari keretanya ke masjid. Ia akan dihitung, insya-ALLAH, akan mendapat ganjaran untuk amalannya.
  2. Keluar awal dari rumah dan masuk ke masjid sebelum imam berada di mimbar. Inilah antara yang memberi kesan terhadap saya. Ia adalah sabda Nabi s.a.w:“Di setiap pintu masjid ada malaikat yang menulis nama mereka yang memasukinya mengikut urutan. Ketika imam menaiki mimbar, mereka(malaikat)  tutup lembaran nama itu untuk mendengar khutbah.”
  3. Menunaikan solat tahiyyatul masjid. Nabi s.a.w. mengarahkan supaya kita tidak duduk sebelum menunaikan solat tahiyyatul masjid. Walaupun khatib sudah menaik ke mimbar dan mula untuk menyampaikan khutbahnya, kita tetap disunatkan untuk menunaikan solat tahiyyatul masjid.
  4. Sunnah untuk mendekati imam. Iaitu duduk di tempat yang paling hampir dengan imam. Berdasarkan sabda Nabi s.a.w : “Baginda mendekati imam lalu mendengar khutbahnya.”
  5. Memberi perhatian terhadap khutbah yang disampaikan. Buat mereka yang tidur dan terleka, sesungguhnya mereka akan terlepas ganjaran besar yang diberikan kepada mereka yang mendengar khutbah. Memberi perhatian adalah penting dan juga meninggalkan perkara yang sia-sia. Kerana terdapat beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh orang ramai, sesetengahnya ketika mendengar khutbah dia asyik dengan telefon bimbitnya. Berdasarkan Nabi s.a.w. bersabda : “Barangsiapa yang menggerakkan batu, pada hari JUMAAT maka dia telah melakukan perkara yang sia-sia, barangsiapa yang melakukan perkara yang sia-sia maka tiadalah pahala JUMAAT untuknya, Barangsiapa bercakap dengan temannya maka tiadalah pahala JUMAAT untuknya.”
KETIGA : Adab pada hari JUMAAT dan malam sebelumnya.

  1. Membaca surah Al-Kahfi seperti sabda Nabi s.a.w : “Barangsiapa yang membaca surah Al-Kahfi di hari JUMAAT, dia akan disinari cahaya sehingga ke JUMAAT yang berikutnya.” Ia juga akan melindungi kita daripada fitnah dajjal, semoga ALLAH melindungi kita daripada fitnah dajjal.
  2. Iaitu selawat ke atas Nabi s.a.w. Baginda s.a.w. bersabda : “Banyakkanlah berselawat kepadaku di hari JUMAAT dan malam sebelumnya.” Jika kita berselawat kepada Nabi s.a.w. sekali, ALLAH akan berselawat kepada baginda sebanyak 10 kali. Selawat dari ALLAH s.w.t. adalah rahmat.
  3. Perbanyakan berdoa dan menunggu saat doa dimakbulkan. Nabi s.a.w. bersabda : “Terdapat satu masa di hari JUMAAT, jika seorang muslim berdoa, doanya pasti akan dimakbulkan oleh ALLAH.” Saat ini dikenali sebagai saat doa dimakbulkan dan kebanyakan ulama’ dan para sahabat Nabi s.a.w antaranya Ali dan Fatimah Az-Zahrah dan beberapa sahabat yang lain mengatakan bahawa saat doa dimakbulkan adalah ketika matahari mula terbenam.

Antara perkara terpenting yang perlu kita ambil berat ketika mencontohi Nabi s.a.w. adalah persepsi Baginda menunjukkan mahabbah ALLAH s.w.t. kepada kita. Mahabbah kita kepada ALLAH s.w.t. pula merupakan asas mengapa kita mengamalkan sunah Nabi s.a.w.




Allah berfirman : katakanlah; “Jika kamu benar-benar cintai ALLAH, ikutilah aku. Nescaya ALLAH akan mengasihimu. (Ali-Imran : 31)

Daripada : Habib Muhammad Al-Saqqaf’s 

1 ulasan: